PERBEZAAN ANTARA PENTAKSIRAN, PENGUJIAN, PENILAIAN DAN PENGUKURAN.
Perbezaan pertama yang dapat lihat
antara keempat-empat konsep di atas adalah melalui definisi setiap konsep
tersebut pentaksiran didefinisikan sebagai satu proses mendapatkan maklumat untuk
membuat pertimbangan tentang produk sesuatu proses pendidikan, pengukuran pula
merupakan aktiviti mengumpulkan maklumat secara sistematik dan mengaturkan
maklumat dengan teratur. Konsep pengukuran dan pentaksiran mempunyai banyak
persamaan yang boleh dilihat sebentar lagi. Konsep penilaian pula merupakan
satu proses membuat pertimbangan dalam mentafsir hasil pengukuran bertujuan
memberikan maklumat tentang pencapaian murid, objektif pelajaran, kaedah
mengajar dan kurikulum manakala konsep pengujian pula adalah proses penyerahan
set soalan yang piawai perlu dijawab atau set instrumen atau prosedur yang
bersistem bagi mengukur sampel tingkah laku atau perubahan.
Perbezaan yang kedua kita lihat dari
segi tujuan konsep-konsep tersebut digunakan dalam pentaksiran. Tujuan
pengukuran dan pentaksiran adalah sama iaitu untuk membuat pengelasan bagi
pencapaian dan kedudukan dalam pembelajaran serta memberi peluang kepada guru
untuk merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang tersusun dan
bersistematik berseuaian dengan tahap keupayaan murid manakala pengujian pula
dilakukan untuk menentukan pencapaian sesuatu pembelajaran dan penilaian pula
adalah untuk memberi maklumat tentang pencapaian objektif pembelajaran, kaedah
mengajar dan kurikulum serta melalui ujian penilaian yang dilakukan guru dapat
berusaha meningkatkan keberkesanan pengajaran mereka dan murid berpeluang
mengetahui kelemahan dalam sesuatu kemahiran atau bidang lantas segera
memperbaikinya.
Perbezaan ketiga pula dapat lihat
dari segi cara atau proses untuk melaksanakan konsep-konsep tersebut. Konsep
pengujian dilakukan berperingkat persediaan ujian, pentadbiran dan pemeriksaan.
Konsep pengukuran dan pentaksiran pula proses pengujian dengan merekod markah
atau gred murid manakala penilaian pula proses pengukuran, proses
penganalisisan, proses interpretasi, melapor dan tindakan.
Perbezaan keempat pula dari segi
bentuk konsep. Bentuk konsep pengujian adalah pemerhatian, ujian lisan dan
ujian bertulis manakala pengukuran dan pentaksiran set ujian bertulis dengan
markah dan gred yang diperolehi oleh murid. Bentuk konsep penilaian pula
jadual, gred berdasarkan teknik perangkaan.
Perbezaan kelima pula dari segi masa
pelaksanaan konsep tersebut. Bagi pengujian, pengukuran dan pentaksiran
dilakukan selepas pembelajaran manakala penilaian boleh dilakukan sebelum,
semasa mahupun selepas pembelajaran.
Perbezaan keenam adalah dari segi
liputan setiap konsep. Bagi pengujian ia terhad pada sesuatu kemahiran atau
pembelajaran manakala pengukuran dan pentaksiran boleh dijalankan pada sesuatu
peringkat pembelajaran. Penilaian pula dari sesuatu pembelajaran tertentu ke
seluruh kurikulum.
Perbezaan ketujuh pula keputusan
yang dapat dilihat selepas konsep-konsep pentaksiran dijalankan. Pengujian
dapat menunjukkan prestasi sesuatu kemahiran atau penguasaan pembelajaran yang
spesifik manakala pengukuran dan pentaksiran menunjukkan pencapaian secara
relatif. Penilaian pula menunjukkan pencapaian keseluruhan tetapi tidak
semestinya membayangan kebaikan seorang individu.
Setiap konsep saling berkaitan
antara satu sama lain dan tidak mempunyai banyak bezanya terutama sekali dari
segi tujuan ia dilaksanakan. Konsep pengukuran dan pentaksiran mempunyai banyak
persamaan dan boleh dijalankan secara serentak.
Pentaksiran
Suatu proses yang meliputi pelbagai kaedah untuk menentukan tahap sesuatu ciri atau atribut yang diperolehi seseorang individu
Melibatkan proses membuat keputusan berdasarkan kepada suatu peraturan atau piawaian.
Sebahagian daripada proses pembelajaran.
Dalam konteks pendidikan juga pentaksiran dianggap sebagai suatu proses pembelajaran yang merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod, memberi skor dan menterjemahkan maklumat tentang pembelajaran seseorang murid bagi sesuatu tujuan tertentu (Lembaga Peperiksaan Malaysia, 2000).
Hasil pentaksiran dinyatakan dalam bentuk skor.
Skor mestilah sah dan boleh dipercayai untuk memastikan keadilan kepada murid serta mengekalkan kewibawaan institusi pentaksiran.
Pengukuran
Proses kuantifikasi dengan memberi nilai angka kepada kewujudan sesuatu ciri dan atribut.
Suatu proses mendapatkan penjelasan secara numerik atau melalui angka tentang sebanyak mana individu atau murid mempunyai sesuatu ciri yang diukur dengan menggunakan instrumen.
Menentukan tahap sejauh mana seseorang individu memiliki sifat-sifat tertentu.
Biasanya pengukuran diwakilkan dengan sesuatu indeks berbentuk angka kepada prestasi seseorang individu supaya status individu berkenaan lebih tepat dan dapat mewakili sifat tertentu.
Misalnya,Jelita mendapat markah 80 peratus dalam ujian Bahasa Melayu. Prestasi Jelita tidak dapat dinyatakan sama ada baik atau sebaliknya.
Ini kerana kita hanya mengukur tanpa menentukan nilai.
Pengukuran adalah hanya penentuan status atau tahap.
Pengukuran boleh dilaksanakan tanpa pengujian.
Pengukuran adalah menjurus kepada banyak mana skor atau markat yang diperolehi dengan menggunakan proses tertentu.
Pengukuran juga tidak bersifat mutlak.
Ketinggian mental seseorang individu lebih sukar untuk diukur.berbanding ketinggian fizikal.
Penilaian
Menurut Stufflebeam (1971), penilaian adalah proses mengenalpasti, memperoleh dan menyediakan maklumat berguna bagi keputusan mempertimbangkan pilihan-pilihan yang ada pada kita.
Penilaian menentukan jurang perbezaan antara “apa yang dihasilkan” dengan “apa yang dihasratkan” dari sesuatu program pendidikan.
Penilaian merupakan pertimbangan profesional iaitu proses yang membolehkan seseorang membuat keputusan.
Menilai boleh dianggap sebagai proses membuat pertimbangan atau membuat keputusan dalam memberikan nilai mutu, kualiti, harga bagi sesuatu benda atau perkara.
Gay (1985) berpendapat bahawa penilaian ialah satu proses yang dianggap sistematik semasa mengumpul dan menganalisis data bagi menentukan sama ada sesuatu objektif yang telah ditetapkan itu telah tercapai.
Hal ini seterusnya bagi membolehkan guru dapat membuat pertimbangan atau keputusan yang tepat berhubung pengajaran dan pembelajaran.
Ini berbeza dengan pengukuran yang melibatkan pemberian nombor-nombor (numeric) tertentu yang lebih bersifat kuantitatif.
Popham (1975) menafsirkan penilaian yang sistematik mestilah mengandungi satu tafsiran yang formal tentang nilai fenomena pendidikan.
Secara menyeluruh, penilaian pendidikan mencakupi aspek-aspek seperti hasil pengajaran, program pengajaran dan matlamat ke arah usaha pengajaran itu ditentukan.
Dalam sesuatu bilik darjah, apabila guru memberikan ujian, adakah guru berkenaan mengukur pencapaian pelajar atau guru menilai pencapaian pelajar.
Dalam keadaan ini kita boleh mengatakan bahawa guru sebenarnya mengukur pencapaian pelajar melalui ujian yang dijalankan.
Tindakan susulan yang dilakukan guru dengan menggunakan keputusan ujian itu berserta maklumat lain yang berkaitan untuk menilai prestasi murid berkenaan.
Dalam sesetengah keadaan penilaian dibuat tanpa sebarang pengukuran yang melibatkan ujian terlebih dahulu; tetapi hanya melibatkan pertimbangan nilai semata-mata.
Penilaian boleh dijalankan dengan menggunakan maklumat atau data yang berbentuk kuantitatif atau data berbentuk kualitatif atau melibatkan kedua-duanya sekali.
Secara kuantitatif, maklumat yang diperolehi melalui penilaian dinyatakan dalam bentuk angka dan maklumat ini boleh disusun, dikemaskinikan serta diringkaskan dalam kaedah yang lebih mudah difahami.
Manakala secara kualitatif pula, maklumat yang dapat dinyatakan atau dihuraikan tanpa menggunakan nombor-nombor.
Misalnya Ali menyelesaikan tugas yang diberikan oleh guru dengan bersih.
Penilaian merupakan suatu proses membuat keputusan yang sistematik melibatkan pengenalpastian, pemerolehan dan pentafsiran maklumat yang berguna bagi pertimbangan pilihan-pilihan keputusan berasaskan kepada sesuatu objektif pendidikan.
Dari segi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, penilaian boleh didefinisikan secara ringkas sebagai satu proses sistematik untuk menentukan sejauh mana objektif pengajaran dan pembelajaran dicapai.
Penilaian akan membolehkan anggaran dapat dibuat sama ada matlamat yang telah ditetapkan itu tercapai atau sebaliknya.
Penilaian juga dapat dianggap sebagai satu cara mendapatkan bukti yang tepat tentang sesuatu. Misalnya dalam pendidikan, masalah yang dapat diselesaikan ialah pencapaian sesuatu matlamat yang ditetapkan seperti menguasai kemahiran dalam bahasa.
Terdapat benyak persoalan yang perlu diselesaikan dalam membuat penillaian seperti apakah bukti yang mencukupi atau bagaimana cara mendapatkan maklumat, siapa yang perlu mendapatkan maklumat dan sebagainya.
Pengujian
Merupakan proses mengaturkan satu siri tugasan untuk diselesaikan supaya pemerhatian tepat dibuat tentang penguasaan pelajar dalam sesuatu kursus di universiti.
Ujian adalah alat ukur.
Ujian digunakan bagi mengukur ‘penguasaan’ pelajar dalam sesuatu kursus. Ujian mengandungi satu set tugasan (dalam bentuk tugasan) yang berdasarkan sesuatu kursus bagi merangsang pelajar untuk ‘menunjukkan’ tahap penguasaan mereka dalam kursus berkenaan.
Tahap penguasaan pelajar biasanya dikuantifikasikan dengan memberi skor kepada jawapan yang diberi.
Ujian merupakan alat ukur yang sering digunakan untuk mendapatkan bukti empirik bagi tujuan penilaian pengajaran dan pembelajaran.
Tumpuan perlu diberi bagi membina ujian yang bermutu, mentadbir ujian berkenaan dengan betul dan mentafsir dapatannya dengan tepat.
Pengujian selalunya dianggap mendukung maksud yang lebih sempit atau khusus.
Pengujian dapat dianggar sebagai proses penyerahan set soalan yang standard yang perlu dijawab, atau satu set instrumen atau satu prosedur yang sistematik bagi mengukur sampel tingkah laku atau perubahan seseorang individu atau pelajar.
Menurut Cronbach (1970), ujian ialah satu prosedur yang sistematik untuk memerhati perlakuan atau tingkah laku seseorang individu dan menghuraikan dengan bantuan skala bernombor, atau satu sistem yang berkategori.
Misalnya, skala bernombor seperti angka 30/100 untuk ujian penglihatan, 100 untuk ujian darjah kecerdasan (IQ Test) dan 80/100 bagi ujian pencapaian bagi sesuatu mata pelajaran seperti Sains.
Manakala contoh sistem berkategori pula seperti ekstrovert atau introvert bagi ujian personaliti, atau rabun warna bagi ujian penglihatan.
Ujian adalah suatu cara untuk mendapatkan contoh perlakuan yang diperlihatkan oleh murid di dalam keadaan yang dikawal atau ditentukan.
Maklumat yang diperolehi daripadanya akan dijadikan dasar untuk membuat penilaian atau pengadilan dikukuhkan oleh Milagros(1981) seperti yang terkandung dalam Raminah Hj.Sabran(1991). (Raminah 1991:2).
Proses pengujian bermula dengan peringkat persediaan, pelaksanaan (pentadbiran ujian) dan berakhir dengan pemeriksaan skrip jawapan.
Proses pengujian membolehkan guru mengetahui sama ada pelajar-pelajarnya telah menguasai tahap kemahiran yang telah dipelajari.
No comments:
Post a Comment